Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipecat, Datuk Wan Saiful Wan Jan menempelak kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berdasarkan perlembagaan gabungan itu.

Wan Saiful berkata, sekiranya Muhyiddin masih menganggap dirinya sebagai Pengerusi PN, mengapa beliau gagal memanggil mesyuarat penting Majlis Tertinggi (MT) bagi menentukan pengganti selepas peletakan jawatan.

“Memang tak pelik Tun Faisal buat kenyataan untuk lambung Muhyiddin. Dalam bab melambung Muhyiddin, Tun Faisal sudah layak mendapat anugerah perkhidmatan terpaling cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut mempersoalkan, jika Muhyiddin masih Pengerusi PN, kenapa beliau tidak segera panggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk bincangkan siapa pengganti selepas dia letak jawatan.

“Bukankah Pengerusi PN yang bertanggungjawab akan segera menyelesaikan isu yang penting ini?

“Janganlah nanti ada yang kata Muhyiddin dan penjilatnya masih tak jumpa muslihat untuk u-turn maka sebab itulah Muhyiddin takut nak panggil mesyuarat,” tambah beliau lagi.

Wan Saiful berkata, kalau hendak kata Muhyiddin tak ada masa, ramai yang tahu beliau ada masa untuk buat macam-macam perjumpaan lain.

Malah, dakwanya, Muhyiddin sekarang rajin pula panggil hendak berjumpa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Bersatu.

Dakwanya lagi, ada orang makluman pada Februari ini, Muhyiddin panggil untuk berjumpa.

“Nak melobi pengaruh ke tu?,” tanya Wan Saiful lagi.

Beliau menegaskan, seandainya Tun Faisal mahu berhujah bahawa Muhyiddin masih Pengerusi PN, maka Presiden Bersatu perlu membuat kerja.

Namun, katanya, disebabkan Muhyiddin tak tunjuk minat untuk laksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi PN, presiden parti-parti lain pula terpaksa hantar surat minta supaya dipanggil satu mesyuarat MT PN luar biasa.

“Kalau dah tak berdaya buat kerja, jangan susahkan orang lain yang nak bekerja. Itu namanya “failed leader”, kata Wan Saiful.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan mesyuarat luar biasa MT PN akan diadakan pada Khamis ini bagi melantik pengerusi baharu susulan keputusan Muhyiddin mengosongkan jawatan.

Mesyuarat itu dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam di ibu pejabat Parti Gerakan di Cheras.

Menurut Takiyuddin, Muhyiddin Yassin tidak dijemput menghadiri mesyuarat tersebut kerana telah meletakkan jawatan.

keputusan sama turut terpakai terhadap Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang juga telah mengemukakan peletakan jawatan sebelum ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast