Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Kegagalan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020 disifatkan sebagai satu penyesalan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, kata Teo Nie Ching.

Bagaimanapun, menurut Naib Pengerusi DAP itu, terdapat kekangan yang di luar kawalannya dalam isu itu namun beliau tidak pernah mengelak daripada mengakui kelemahan tersebut.

Malah beliau sendiri pernah memohon maaf pada 2020 kepada penyokong beliau berhubung kenyataan `mengiktiraf UEC dalam satu tahun’ tetapi masih gagal dilaksanakan sehingga kini.

Namun, tegasnya yang kini Timbalan Menteri Komunikasi, pendirian beliau dalam isu itu tidak pernah goyah sebaliknya konsisten sejak awal iaitu mengiktiraf UEC adalah baik untuk Malaysia.

“Ia tidak akan mencemarkan identiti nasional kita. Sebaliknya, ia akan mengukuhkan ekosistem pendidikan kita, menyokong pembangunan bakat dan mencerminkan komitmen yang dibuat dalam pelbagai manifesto dari Pakata Rakyat hingga Pakatan Harapan dan bahkan Barisan Nasional,” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.

Terdahulu, media melaporkan bekas pengerusi pasukan petugas UEC, Eddin Khoo menyelar Nie Ching dengan mendakwa sengaja mempolitikkan isu UEC demi keuntungan politik sempit.

Eddin juga dilaporkan membuat dakwaan Nie Ching kerap menggunakan ayat berbeza ketika memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pendidikan kepada media berbahasa Cina dan bukan Cina berhubung isu UEC.

Sementara itu, Nie Ching menyangkal dakwaan kononnya beliau bercakap berbeza kepada komuniti berbeza atau seorang provokator dalam isu UEC sebaliknya konsisten mengiktiraf UEC dan tidak mengubah prinsip itu untuk disesuaikan dengan keadaan.

Sehubungan itu, tegasnya, sebarang dakwaan bahawa beliau tidak berminat untuk mencari penyelesaian bagi UEC adalah tidak berasas.

“Izinkan saya jelaskan satu perkara lagi, saya tidak berasa kesal kerana tegas mengenai pengiktirafan UEC. Saya percaya ia adalah arah dasar yang betul untuk Malaysia dan saya berdiri dengan keyakinan itu.

“Komitmen saya tetap tidak berubah, Malaysia lebih kuat apabila kita mengiktiraf dan menghargai semua aliran pendidikan yang menyumbang kepada asas (fabric) nasional kita,” katanya.

Dalam masa sama, ujar beliau, perbincangan mengenai pengiktirafan UEC mesti berlandaskan fakta bukan insinuasi (sindiran atau tanggapan negatif). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast