KUALA LUMPUR – Laman perkongsian kesihatan Public Health Malaysia (PHM) menjawab dakwaan tular di media sosial kononnya memakan durian dan mengambil minuman berkarbonat boleh membawa maut serta-merta.
Menegaskan dakwaan itu adalah mitos, PHM menerusi hantaran di laman sosial Facebook hari ini menjelaskan, tiada tindak balas kimia ajaib yang menukarkan durian dan air gas menjadi racun di dalam perut.
Namun, katanya, dalam kes di mana ada yang rebah selepas mengambil kombinasi buah dan minuman itu, ia berpunca daripada beban metabolik bukan disebabkan oleh racun.
Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, kejadian itu boleh berlaku disebabkan kandungan gula melampau yang mana durian adalah buah yang sangat tinggi kandungan gula dan karbohidrat.
Dalam masa sama, tambahnya, satu tin air gas pula mengandungi sekitar tujuh hingga sembilan sudu teh gula yang mana apabila diambil serentak, paras gula dalam darah akan melonjak mendadak (sugar spike).
Selain itu, katanya, kejadian ada yang rebah ketika memakan durian sambil meminum air bergas juga disebabkan berlakunya kembung perut yang teruk.
Jelasnya, durian menghasilkan gas sewaktu proses penghadaman (fermentasi) dan air berkarbonat juga mengandungi gas.
“Kombinasi dua ‘kilang gas’ ini menyebabkan perut menjadi sangat sebu, kembung, dan menekan diafragma. Ini menyukarkan pernafasan,” katanya.
Selain itu, ujarnya, pengambilan buah durian bersama air berkarbonat juga boleh menyebabkab beban kerja kepada jantung.
Jelasnya, bagi individu yang sihat, situasi itu mungkin hanya menyebabkan rasa rasa loya, pening dan sendawa tanpa henti.
Namun bagi penghidap kencing manis, darah tinggi atau sakit jantung, lonjakan gula dan tekanan darah yang mendadak itu boleh memicu serangan jantung atau strok.
“Inilah punca sebenar kematian mengejut yang sering dilaporkan, bukan kerana ‘racun’ tetapi kerana tubuh tidak mampu menanggung beban gula dan tekanan darah pada satu masa,” katanya.
Jelas PHM, meskipun gabungan buah durian dan air bergas tidak `mematikan’ untuk orang sihat tetapi ia adalah idea yang buruk kerana tidak wajar untuk menyeksa perut sendiri.
“Nikmatilah durian dengan air kosong. Itu lebih selamat dan dapat membilas rasa manis yang melekat,” katanya. – MalaysiaGazette
















