Xisco Munoz

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) masih belum memutuskan menurunkan tiga pemainnya yang sebelum ini digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), untuk menentang kelab Myanmar, Shan United FC dalam perlawanan esok.

Pengendali JDT, Xisco Munoz masih belum pasti Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel akan beraksi pada aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Katanya, misi memburu tiga mata berdepan juara Liga Kebangsaan Myanmar itu amat penting bagi mengukuhkan kedudukan JDT untuk melayakkan ke pusingan separuh akhir.

“Ketiga-tiga pemain terbabit berada dalam ‘mood’ terbaik setelah kembali menyertai kem latihan Harimau Selatan bagi membuat persiapan menjelang perlawanan ini.

“Mereka sudah kembali menjalani latihan dan saya perlu meneliti dengan prestasi mereka secara lebih dekat. Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan lagi sama ada akan menurunkan mereka dalam kesebelasan utama atau bermula dari bangku simpanan.

“Kita perlu faham bahawa mereka telah berehat panjang dan sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif. Jadi, penting untuk mereka untuk mendapatkan rentak semula sebelum diturunkan beraksi,” katanya pada sidang media pra perlawanan di stadium itu hari ini.

Beliau berkata, itu bukan isu besar buat JDT kerana mereka pemain yang berkualiti cuma pihaknya tidak mahu memberi tekanan terhadap ketiga-tiganya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan penggantungan 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain warisan oleh FIFA, September lalu.

Ditanya mengenai perlawanan menentang pasukan lawan, beliau berkata, pihaknya sudah membuat persiapan rapi dengan mengkaji corak permainan pasukan lawan dan taktikal permainan yang akan ditetapkan.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, pemain perlu bangkit daripada kekecewaan apabila sekadar seri ketika menentang kelab dari Kemboja, PKR Svay Rieng FC yang berkesudahan 2-2, Disember lalu.

“Justeru, pemain perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada JDT. Gunakan momentum kemenangan dalam aksi domestik pada perlawanan ini.

“Kita jangkakan satu pertembungan yang sengit memandangkan pasukan lawan dijangka banyak bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas. Jadi, penting untuk kita terlebih dahulu membuka jaringan supaya dapat beraksi dengan tenang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast