Lima individu termasuk pengarah syarikat dan pengurus kanan beberapa entiti perniagaan direman bagi membantu siasatan berkait kes rasuah penguat kuasa melibatkan sebuah rangkaian pusat urut terkemuka. Foto SPRM

KUALA LUMPUR – Lima individu termasuk pengarah syarikat dan pengurus kanan beberapa entiti perniagaan direman bagi membantu siasatan berkait kes rasuah penguat kuasa melibatkan sebuah rangkaian pusat urut terkemuka.

Perintah reman terhadap kesemua individu itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, kesemua individu berusia lingkungan 30 hingga 50an itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya oleh Bahagian Operasi Khas SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, operasi bersepadu telah dilaksanakan terhadap rangkaian pusat urut yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara, dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2023.

“Siasatan awal mendapati, syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, yang mana sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan, sekali gus berlaku kebocoran cukai dianggarkan RM7.56 juta setahun.

“Selain itu, turut berlaku pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan.

“Berikutan itu, beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber, SPRM turut membekukan sebanyak 121 akaun bank, melibatkan akaun persendirian dan akaun syarikat-syarikat berkaitan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM11.5 juta.

“Sehingga kini, seramai 12 rakaman percakapan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan lanjut.

“Siasatan turut melibatkan pembekuan aset-aset di Lembah Klang dan Johor disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram.

“Ia meliputi lima kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta, lima unit premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua unit hartanah perindustrian bernilai lebih kurang RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran sekitar RM7.7 juta,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan.

Katanya, siasatan memberi fokus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009), selain turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk aktiviti pengubahan wang haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast