Zambry pada Program Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuhkan kerjasama strategik antara universiti dan industri bagi memberi penekanan kepada pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja selaras keperluan semasa pasaran.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan graduan yang dilahirkan menepati keperluan sebenar industri tanpa menjejaskan nilai serta kualiti akademik program pengajian ditawarkan.

Menurut beliau, kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan syarikat teknologi tempatan, ViTrox, menjadi contoh pelaksanaan terbaik konsep berkenaan apabila kedua-dua pihak saling melengkapi keperluan masing-masing.

“USM membantu mereka bagi memenuhi keperluan industri yang berkenaan kerana ViTrox merupakan sebuah industri yang sedang berkembang pesat sehingga mereka turut mewujudkan sebuah kolej dalam industri mereka sendiri.

“Ini merupakan satu pendekatan yang kita berikan perhatian bagi membolehkan sektor-sektor industri yang memerlukan tenaga kerja dalam kadar segera, menurut spesifikasi yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Utara di Pusat Pengajian Seni, USM di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman dan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Dr Ir Abdul Rahman Mohamed.

Program berkenaan melibatkan seramai 300 peserta terdiri daripada pensyarah muda serta pentadbir universiti, politeknik dan kolej komuniti dari institusi termasuk Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan USM.

Sesi dialog santai yang diadakan turut membuka ruang perbincangan dua hala berhubung pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2036, selain cabaran penyesuaian institusi pengajian tinggi terhadap keperluan semasa industri.

Dalam perkembangan sama, Zambry berkata, kerjasama industri antara USM dan ViTrox juga menyokong usaha kerajaan menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor industri berteknologi tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast