GOMBAK – Sebanyak tujuh jalan utama akan ditutup secara berperingkat di Selangor sempena Thaipusam yang disambut Ahad ini.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, penutupan dibuat bermula tengah malam ini hingga Selasa depan.
Antara jalan yang akan ditutup melibatkan lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves susur dari arah MRR2 ke kuil dan Jalan Perusahaan ke kuil.
Selain itu jalan yang juga akan ditutup adalah simpang tiga Jalan Seri Batu Caves (SBC) 8/ Jalan Batu Caves Lama; simpang tiga lampu isyarat SBC (hadapan Shell) dan jalan susur Batu Caves ByPass menghala ke pintu utama kuil, katanya ketika sidang media di Martek Op Palu di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna jalan raya yang tidak mempunyai urusan di kawasan Batu Caves supaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Antara laluan alternatif yang boleh digunakan adab Lebuh Raya DUKE, NKVE, Jalan Kuching, Jalan Gombak dan Jalan Sungai Tua bavi aliran trafik dari Pantai Timur, Utara dan Selatan termasuk kawasan sekitar Rawang/ Selayang.
“Orang ramai boleh mendapatkan perincian laluan alternatif yang akan dikemas kini di Facebook Polis Daerah Gombak,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, Shazeli berkata, sekitar kuil Batu Caves merupakan kawasan larangan bagi pengoperasian dron.
“Pihak yang ingin mengoperasikannya perlu mendapatkan permohonan terlebih dahulu daripada pihak CAAM (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia) dan tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak yang gagal mematuhi peraturan,” tambahnya.
Terdahulu, Shazeli memaklumkan, seramai 1,520 petugas melibatkan 166 pegawai kanan manakala bakinya dalam kalangan pegawai rendah akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafii sempena sambutan Thaipusam.
“Petugas yang diatur gerak melibatkan daripada Bukit Aman, Kontinjen Selangor serta beberapa kontinjen dan formasi lain.
“Seramai 1,376 petugas adalah dari kontinjen Selangor manakala selebihnya bantuan daripada kontinjen dan formasi,” tambahnya.-MalaysiaGazette
















