KUALA LUMPUR – Penafian yang dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menimbulkan persoalan sama ada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berbohong.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ia turut menimbulkan persoalan sama ada Muhyiddin begitu terdesak untuk berpaut di takhta kuasa sehingga sanggup mencipta cerita yang tidak benar.
Beliau yang juga bekas bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan, sekiranya benar Muhyiddin berbohong, ia meninggalkan kesan yang amat besar kerana akan menimbulkan banyak persoalan lain.
“Bolehkah dipercayai segala cerita Muhyiddin kepada MPT Bersatu?
“Adakah Muhyiddin berbohong kepada MPT Bersatu?
“ Adakah Muhyiddin berbohong kepada rakyat?
“ Tidakkah Bersatu malu ada Presiden yang dituduh pembohong?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, tambah Wan Saiful, sekiranya Muhyiddin sayangkan parti Bersatu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan mesti menyelamatkan imej parti itu dengan cara meletak jawatan sebagai presiden.
Sekiranya tidak, kata beliau, Muhyiddin akan terus menjadi liabiliti kerana rakyat akan mengatakan Presiden Bersatu seorang pembohong.
“Tapi janganlah pula mansuhkan jawatan Presiden Bersatu untuk lantik Muhyiddin sebagai Mursyidul Am,” katanya.
Semalam, Abdul Hadi menyangkal kenyataan Muhyiddin berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti yang terkandung di dalam surat oleh Presiden Bersatu berkenaan yang tersebar kepada media.
Menurut Abdul Hadi, isu itu sama sekali tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh Pas termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.
Malah, tegas beliau, Pas kekal dengan pendirian jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal dan tidak dimansuhkan serta diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.
Media sebelum itu melaporkan dakwaan Muhyiddin yang mana Bersatu dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu.
Menerusi surat yang tersebar kepada media, Muhyiddin dilaporkan berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala Pas akan mengetuai Jawatankuasa Eksekutif. – MalaysiaGazette
















