KUALA LUMPUR – Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin supaya parti itu bergerak solo sekiranya kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) gagal diselesaikan perlu dinilai dengan tenang, matang dan berfikir jauh ke hadapan, bukan dengan emosi atau sentimen kepartian sempit.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, ia adalah peringatan strategik dan isyarat kepimpinan bahawa kemelut kepimpinan di dalam PN tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa hala tuju yang jelas.
Ujarnya, apabila isu pelantikan Pengerusi PN berpanjangan, mesyuarat rasmi dibatalkan dan keputusan besar cuba diselesaikan melalui platform tidak berperlembagaan, maka wajar ada suara yang mengingatkan bahawa pakatan tidak boleh diurus mengikut kehendak individu atau manuver kuasa peribadi.
“Cadangan Mursyidul Am agar PAS bersedia bergerak solo sekiranya kebuntuan ini gagal diselesaikan bukan tanda PAS angkuh atau memutuskan silaturahim.
“Sebaliknya, ia satu opsyen politik yang realistik dan berprinsip, berasaskan hakikat bahawa PAS memiliki kekuatan sendiri, jentera akar umbi yang tersusun, kepimpinan stabil serta rekod pentadbiran di empat negeri yang boleh dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan cadangan Hashim supaya Pas bergerak solo sekiranya isu pelantikan pengerusi PN yang sepatutnya dalam kalangan pemimpin parti itu terus menemui jalan buntu.
Sementara itu, Mohamed Sukri berkata, Pas tidak tidak pernah menutup pintu kerjasama, bahkan Hashim sendiri menegaskan hasrat agar Pas dan Bersatu terus bersama jika kemelut itu dapat diselesaikan secara baik.
Namun, ujarnya, kerjasama mesti berdiri atas kejujuran, kejelasan peranan dan penghormatan kepada perlembagaan pakatan, bukan dipaksa melalui helah struktur atau penstrukturan yang mengelirukan.
Dalam berpolitik, ujarnya, ketegasan prinsip adalah tanda kematangan, bukan perpecahan.
“Dan kadangkala, keberanian untuk berdiri dengan kekuatan sendiri adalah cara paling jujur untuk menyelamatkan maruah perjuangan dan kepercayaan rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap isu itu dapat diselesaikan segera dengan hikmah, tanpa mengorbankan kestabilan pakatan dan tanpa memperjudikan mandat rakyat demi nafsu kuasa sementara. – MalaysiaGazette
















