GOMBAK – Kerajaan tidak perlu lagi memberi penjelasan kepada pembangkang berhubung dakwaan Malaysia memberi 5,207 hektar tanah kepada Indonesia.
Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pembangkang mesti bertanggungjawab sepenuhnya atas tuduhan yang dibuat secara berterusan, termasuk dakwaan menipu dan memfitnah yang disifatkan sebagai amalan politik tidak sihat serta tidak boleh diterima dalam negara ini.
Menurut beliau, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan dengan menyebarkan pembohongan, fakta palsu serta memanipulasi sentimen agama Islam demi kepentingan politik.
“Tindakan pembangkang yang terus membuat tuduhan dan menjatuhkan ‘hukuman’ tanpa asas yang sah adalah tidak wajar dan mencerminkan budaya politik yang buruk,” katanya ketika ditemui media selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood di sini, hari ini.
Semalam, Datuk Seri Hamzah Zainuddn pada sidang media di Parlimen menggesa kerajaan membincangkan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan di Parlimen.
Ketua Pembangkang itu menegaskan, walaupun dakwaan itu telah dinafikan oleh Perdana Menteri, tetapi, isu seperti itu penting untuk dibincangkan kerana melibatkan kedaulatan negara.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sekiranya pembangkang sekadar meminta beliau memberikan penjelasan, perkara itu masih boleh diterima.
Namun, tegas beliau, pendekatan membuat tuduhan berulang kali tanpa bukti jelas disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan nilai politik matang yang sepatutnya diamalkan.
“Ini bukan perangai pembangkang yang wajar dalam negara kita. Mereka mesti bertanggungjawab terhadap setiap kenyataan yang dikeluarkan,” tegasnya.
Baru-baru ini, media melaporkan, tiga desa di Nunukan, Kalimantan Utara didakwa beralih ke Malaysia, namun pertikaian sempadan di kawasan Pulau Sebatik masih belum diselesaikan, sementara Indonesia dilaporkan memperoleh tambahan kawasan seluas 5,207 hektar dari Malaysia.
Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Isu Sempadan Tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung-rugi.
Pemuktamadan pengukuran sempadan darat itu dibuat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara pada 18 Februai 2025 selepas melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun. – MalaysiaGazette
















