TEHRAN – Satu letupan dilaporkan berlaku pada Sabtu di sebuah bangunan di bandar Bandar Abbas, Iran, yang terletak di pesisir Teluk, menurut laporan media negara, namun punca kejadian masih belum diketahui.
Televisyen negara ini melaporkan, letupan tersebut berlaku di sebuah bangunan lapan tingkat, sekali gus “memusnahkan dua tingkat, beberapa kenderaan dan kedai” di kawasan Boulevard Moallem di bandar itu.
Pasukan penyelamat dan bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
Agensi berita rasmi IRNA memetik Ketua Pengarah Pengurusan Krisis Wilayah Hormozgan, Mehrdad Hassanzadeh, sebagai berkata, punca letupan masih dalam siasatan.
“Mereka yang cedera dalam kejadian ini sedang dibawa ke hospital oleh pasukan kecemasan,” katanya, sambil menambah tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Imej yang disiarkan oleh televisyen negara menunjukkan bahagian hadapan bangunan tersebut musnah akibat letupan, mendedahkan bahagian dalam bangunan dengan runtuhan berselerak di sekeliling kawasan.
Media Iran lain turut melaporkan kejadian sama tanpa memberikan maklumat lanjut mengenai punca letupan.
Letupan itu berlaku ketika keadaan tegang di Iran susulan tindakan Amerika Syarikat mengerahkan kumpulan kapal induk ke rantau tersebut selepas kenyataan berbaur ancaman oleh Presiden Donald Trump.
Susulan khabar angin yang tersebar di media sosial, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan mana-mana bangunan milik pasukan tenteranya di wilayah itu telah disasarkan, menurut kenyataan yang dilaporkan oleh agensi berita Fars.
Dalam kejadian berasingan di wilayah Khuzestan di barat daya Iran, empat orang terbunuh dalam satu letupan gas yang turut berlaku pada Sabtu di kawasan Kianshahr, bandar Ahvaz.
Televisyen negara melaporkan pasukan penyelamat telah memulakan kerja-kerja membersihkan runtuhan akibat letupan tersebut bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan. – Agensi
















