KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor membantah langkah penstrukturan semula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa memberi peranan lebih besar kepada ahli Parlimen DAP dalam mengurus tadbir Kuala Lumpur.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, bantahan itu bukan soal sentimen kepartian tetapi melibatkan soal tadbir urus, kebertanggungjawaban dan keseimbangan kuasa.
Jelas beliau, DBKL mnerupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang sepatutnya berfungsi secara profesional, neutral dan berasaskan kepentingan warga kota.
Tegasnya, campur tangan politik kepartian secara langsung dalam struktur pentadbiran DBKL berisiko menghakis prinsip kebebasan pentadbiran serta membuka ruang konflik kepentingan.
“Ahli Parlimen dipilih untuk fungsi legislatif dan semak imbang di Parlimen, bukan untuk mengambil alih peranan eksekutif PBT.
“Jika garis ini dikaburkan, ia mencetuskan preseden bahaya yang merosakkan pemisahan kuasa serta melemahkan sistem semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh berhubung cadangan penstrukturan semula DBKL yang melibatkan penglibatan langsung ahli-ahli Parlimen dalam urus tadbir serta pelaksanaan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Tambah Mohamed Sukri, urus tadbir bandar raya perlu berteraskan kepakaran teknikal, perancangan bandar yang mampan dan suara rakyat pelbagai lapisan bukan dimonopoli oleh satu parti atau blok politik tertentu.
Ujarnya, sebarang penstrukturan semula DBKL juga mesti melalui proses libat urus awam yang telus, dibahaskan secara institusi dan dinilai kesannya kepada rakyat, bukan diumumkan secara elitis atau bersifat politik dalaman.
“Pendirian ini jelas. Tolak politisasi DBKL. Pertahankan tadbir urus profesional. Kembalikan fokus kepada khidmat terbaik untuk rakyat Kuala Lumpur.
“Membina bandar raya berdaya huni menuntut kebijaksanaan, keadilan dan amanah. Bukan penguasaan politik beragenda “Malaysian Malaysia”,” katanya. – MalaysiaGazette
















