TANGKAK – Polis sedang memburu seorang individu yang menceroboh dan mencuri pakaian dalam di halaman sebuah rumah di daerah ini.
Video berkenaan kejadian tersebut tular dalam media sosial dan insiden itu dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya sedang mengenal pasti identiti suspek dan siasatan dilakukan bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran awam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222.
Tambahnya, boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sarjan Syakirah Kamarulzaman 012-3108970.- MalaysiaGazette
















