KLUANG – Seorang warga emas lemas selepas turun ke sungai melepaskan tali pancingnya yang tersangkut semasa memancing bersama-sama empat rakan di Sungai Peroh, Kampung Orang Asli Kahang, dekat sini semalam.
Mohamad Akhir Mansor yang berusia 61 tahun, beralamat di kampung tersebut dan tidak bekerja dikatakan tidak timbul lagi sebelum mayatnya ditemukan terapung.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penemuan mayat warga emas tersebut di sungai tersebut dimaklumkan seorang penduduk tempatan di Balai Polis Kahang pukul 4.20 petang semalam.

“Seorang lelaki Orang Asli memaklumkan menjumpai satu mayat terapung semasa berada di Sungai Peroh Kampung Orang Asli Kahang.
“Kemudian dia menghubungi Klinik Kesihatan Kahang. Penolong Pegawai Perubatan Kahang, Muhamad Fauzan Mohamad Mokhtar sampai di lokasi kejadian.
“Pemerikasaan terhadap warga emas tersebut mengesahkan kematian mangsa pada pukul 6.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, siasatan dan pemeriksaan polis dan pasukan perubatan terhadap tubuh mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
Terdahulu tular rakaman video penemuan mayat Orang Asli tersebut yang mengejutkan penduduk setempat.- MalaysiaGazette















