JOHOR BAHRU – Cubaan seorang janda melarikan diri menerusi pintu belakang semasa operasi cegah maksiat gagal apabila laluannya sudah dikepung Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), baru-baru ini.
Serbuan di rumah teres dua tingkat tersebut dilakukan JAINJ pukul 1 pagi dan wanita itu membuka pintu belakang tanpa tidak menyedari dua penguat kuasa sudah berada di situ bagi menghalang sesiapa melarikan diri.
“Penguat kuasa ketuk pintu sambil memanggil kuat tetapi tidak dijawab. Pintu hadapan masih tidak dibuka walaupun sudah diketuk selama 15 minit.
“Penguat kuasa seterusnya mengeluarkan alat pemotong untuk memotong mangga kunci pintu hadapan,” kata JAINJ dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut JAINJ, tiba-tiba pintu belakang dibuka seseorang dan penguat kuasa menyergah sebelum pintu belakang ditutup semula seterusnya dia buka pintu depan.
“Seorang wanita yang memakai seluar panjang dan t-shirt membuka pintu depan. Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk untuk untuk membuat pemeriksaan.”
Ruang tamu terang dan terdapat tiga bilik, pemeriksaan dalam sebuah bilik menemukan seorang lelaki sedang baring atas katil manakala dua bilik lain tiada penghuni.
“Lelaki berkenaan diminta bangun untuk menunjukkan pengenalan diri. Dia memakai seluar pendek dan t-shirt. Penguat kuasa syaki dia pura-pura tidur.”
Hasil soal siasat ujar JAINJ, pasangan berkenaan mengaku bukan suami isteri.
Siasatan mendapati lelaki berkenaan berumur 30-an berstatus suami orang dan bekerja di daerah ini manakala isteri dan anak-anaknya berada kampung di sebuah daerah di Johor kira-kira 100 kilometer dari Johor Bahru.
Dimaklumkan kepada pihak JAINJ, setiap hujung minggu dia akan balik kampung menemui isteri dan keluarganya.
Wanita itu pula berusia 30-an dan berstatus janda tiada anak dan bekerja di daerah ini.
“Rumah itu adalah rumah sewa wanita yang duduk seorang diri dengan sewa lebih RM1,000. Pada hari kejadian, lelaki itu datang ke rumah ini pukul 11 malam.”
Orang awam yang membuat aduan itu mendakwa pasangan tersebut sering berdua-duaan satu atau dua kali seminggu tetapi bukan pada hujung minggu.
“Apabila ditanya adakah mereka berhasrat untuk bernikah, lelaki kata memang ada hasrat tetapi dia sendiri mengetahui ada banyak halangan untuk berkahwin lagi.
“Ditanya adakah isteri di kampung tahu hubungan mereka, lelaki jawab, isteri tak tahu. Dia beritahu ada hasrat untuk nikah senyap-senyap tanpa pengetahuan isteri dia.”
Pasangan berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana kesalahan berkhalwat.- MalaysiaGazette
















