KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berpandangan semua struktur dan pemilikan tempat mengadakan upacara keagamaan perlulah sah, tanpa mengira apa agama sekalipun.
Menurutnya, jika rumah ibadat dibina atas tanah milikan orang lain tanpa kebenaran, milikan kerajaan atau tidak mendapat kelulusan pembinaan oleh pihak berkuasa tempatan, maka ia menjadikan struktur tersebut tidak sah atau dalam erti kata lain haram.
Jelasnya, tempat upacara keagamaan atau rumah anutan yang dibuat di tanah orang lain atau tanpa kelulusan pihak berwajib juga semestinya melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, ujar beliau, suatu perlanggaran undang-undang mesti diperbetulkan tanpa kompromi yang memberi faedah kepada orang yang melanggar undang-undang tersebut kerana ia akan menggalakkan lebih ramai lagi melanggar undang-undang demi mendapat faedah dari perlanggaran itu.
“Haram tetap haram jangan diberi pampasan. Ia haram dari sudut undang-undang bukan agama. Ini bukan isu provokasi tetapi kedaulatan undang-undang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Zainul Rijal yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) melahirkan rasa hairan apabila ada pihak yang melabelkan kumpulan yang mempertahankan undang-undang berhubung isu binaan rumat ibadat haram itu sebagai ekstremis.
Sedangan, ujar beliau, lazimnya ekstremis adalah golongan yang melanggar undang-undang, bukan kumpulan yang ingin menegakkan kedaulatan undang-undang.
Malah, katanya, kelemahan menguatkuasakan undang-undang menzahirkan kegagalan pihak berwajib menangani isu itu dengan baik.
“Jika berlaku runtuhan di premis anutan haram ini dan menyebabkan kecederaan dan kematian, siapakah yang akan bertanggung jawab atas kecelakaan tersebut?
“Adakah badan keagamaan tersebut bertanggungjawab sepenuhnya atau pihak berkuasa tempatan yang gagal memastikan struktur dibina selamat, ataupun pihak kerajaan atau individu lain yang merupakan pemilik tanah?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) dan potes yang akan diadakan pada 7 Febuari ini dan menyeru orang ramai beramai-ramai menjayakannya. – MalaysiaGazette
















