MELAKA— Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka telah mengenal pasti sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran air berwarna hitam di kolam tadahan banjir di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.
Pengarah JAS Melaka, Rosli Mustafa berkata, siasatan awal mendapati kehadiran air berwarna hitam itu berkemungkinan berpunca daripada pelepasan sisa cecair oleh sebuah kilang memproses buangan terjadual.
“Pada 2 Februari lalu, kita telah mengenal pasti kilang memproses buangan terjadual berkenaan yang disyaki terlibat dan mengarahkan penghentian serta-merta sebarang aktiviti pelepasan yang boleh menyebabkan pencemaran.
“Tindakan penguatkuasaan turut diambil selaras dengan peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, keputusan itu diperoleh selepas beberapa siri siasatan lanjut dan aktiviti pemantauan intensif telah dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengalirkan sisa tersebut ke dalam kolam tadahan banjir berkenaan.
“JAS Melaka tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan mencemar alam sekitar dan akan terus menjalankan pemantauan rapi serta tindakan tegas bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar diminta menghubungi Hotline JAS di 1800-88-2727.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan pencemaran air sepanjang kira-kira 10 kilometer sungai di kawasan Bukit Rambai telah menjejaskan aktiviti harian hampir 1,000 penduduk dari empat buah kampung.
Ia selepas air sungai bertukar hitam dan berbau busuk dipercayai berpunca daripada pelepasan sisa industri ke kolam tadahan banjir berkenaan sebelum mengalir ke beberapa anak sungai utama.
Susulan situasi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong memaklumkan, satu jawatankuasa tindakan khas ditubuhkan melibatkan pelbagai agensi.
Ia bagi tujuan menyelaras pemantauan, pengambilan sampel air serta tindakan pemulihan segera bagi mengelakkan pencemaran berterusan dan menjejaskan lebih banyak kawasan. – MalaysiaGazette
















