KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Program Malaysia My Second Home (MM2H) tidak pernah memberikan kewarganegaraan, status pemastautin tetap (PR) atau MyPR kepada peserta sejak pelaksanaannya.
Sebaliknya, beliau berkata, MM2H hanyalah program Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang membenarkan warga asing tinggal di Malaysia antara lima hingga 20 tahun bergantung kepada kategori penyertaan.
“Program ini menyediakan kemudahan Visa Berulang Alik dan ditawarkan melalui empat kategori utama iaitu Platinum, Gold, Silver dan Zon Ekonomi Khas,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Dungun-PN) mengenai statistik pembelian rumah oleh warga asing melalui MM2H dari 2023 hingga 2025 serta status kewarganegaraan peserta.
Jelas King Sing, tempoh pengesahan pas bagi semua kategori adalah selama lima tahun bagi setiap sesi dan boleh diperbaharui sehingga mencapai tempoh maksimum yang ditetapkan.
Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2025, seramai 744 peserta MM2H telah membeli rumah di Malaysia, manakala 2,637 lagi masih dalam proses pembelian.
“Proses ini termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli serta mengenal pasti lokasi hartanah yang sesuai,” ujarnya.
Mengulas pecahan mengikut negara, King Singberkata pembeli tertinggi datang dari China dengan 304 peserta, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34).
Ia diikuti Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), Indonesia dan Jepun masing-masing 14, India (13) serta Kanada (10).
“Baki peserta melibatkan pelbagai negara lain dengan jumlah yang lebih kecil, menjadikan keseluruhan pembelian sebanyak 744 unit,” katanya.
Malah King Sing sekali lagi menegaskan, MM2H tidak menjadi laluan kepada kewarganegaraan.
“Sehingga kini, tiada permohonan kewarganegaraan, pemastautin tetap atau MyPR pernah diberikan melalui program ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















