MELAKA – Peletakan jawatan Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh sebagai Exco Melaka masih dipertimbangkan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu masih menjalankan tugasnya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) seperti biasa.
Menurutnya, walaupun Ketua Pemuda UMNO itu telah mengemukakan surat perletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan namun perkara tersebut masih dalam pertimbangan Mohd Ali.
“Saya belum berunding lagi. Buat masa ini, beliau masih kekal sebagai Exco dan perkara perletakan jawatan itu belum dibincangkan dengan Tun Dr Mohd Ali.
“Sama ada diterima atau ditolak, masih belum ada keputusan yang muktamad. Sehingga hari ini, beliau masih menjalankan tugas sebagai Exco,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bersama Rakyat (HEBAT) Melaka Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh hari ini.
Dr Akmal sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan meletakkan jawatan dibuat atas dasar tanggungjawab, prinsip dan maruah, selain demi kepentingan parti, selaras dengan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bekerjasama dengan DAP.
Peletakan jawatan tersebut turut disifatkan sebagai langkah berprinsip yang mencerminkan komitmen kepimpinan Pemuda UMNO untuk mengutamakan kepentingan parti serta prinsip perjuangan berbanding kedudukan atau jawatan dalam kerajaan. – MalaysiaGazette
















