Bekas Pembantu Penyelidik kepada pemimpin politik, Muhammed Yusoff Rawther (tengah) keluar dari bilik bicara selepas dibebaskan dari pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pucuk pistol tiruan, di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 12 JUN 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Peguam yang mewakili bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther mempertikai mengapa polis belum menyiasat dua individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan kes pengedaran dadah dan memiliki pistol tiruan melibatkan anak guamnya.

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, meskipun selepas 18 bulan Yusoff Rawther mendakwa penglibatan kedua-duanya, polis masih belum memanggil mereka memberi keterangan.

Menurut peguam itu, anak guamnya ketika memberi keterangan kepada polis mendakwa, dia menjadi mangsa perangkap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Selain itu, Mahkamah Tinggi menerusi alasan penghakiman bertarikh 17 Jun tahun lalu menyatakan kedua-dua pegawai penyiasat dalam kes dadah dan pistol tiruan gagal memanggil dan merakam percakapan Perdana Menteri dan ahli perniagaan tersebut.

Ujarnya, rentetan itu, pihak pembelaan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Akhirnya, kita dapat satu surat bertarikh 28 Januari lalu melalui emel semalam yang memaklumkan bahawa rakaman percakapan lain-lain saksi yang terlibat masih lagi menunggu arahan lanjut timbalan pendakwa raya.

“Maknanya, setakat 28 Januari dan 3 Februari 2026, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Farhash Wafa Salvador masih belum dipanggil untuk dirakam percakapan.

“Ini menimbulkan keraguan yang besar. Sudah 18 bulan Yusoff Rawther menamakan kedua-duanya dalam rakaman percakapan, namun pihak polis masih belum lagi rakam percakapan mereka,” ujarnya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Muhammad Rafique kemudian merujuk kepada amaran keras Perdana Menteri kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa supaya memperbaiki kelemahan ketika memikul tanggungjawab.

Menurut Anwar, sudah sampai masa, pimpinan tertinggi penguat kuasa memberikan jawapan sama ada mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan atau mengakui ketidakmampuan menghadapi cabaran dan ujian termasuk tarikan penyelewengan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast