Reezal Merican (kanan) melawat kilang INV New Material Technology di Penang Technology Park di Bertam, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Kewujudan kilang INV New Material Technology (M) Sdn Bhd di Penang Technology Park (PTP) di Bertam di sini, memperkukuh kedudukan kawasan Kepala Batas sebagai hab industri berteknologi tinggi di Pulau Pinang.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kehadiran kilang seperti ini bukan hanya merancakkan ekonomi negara dan negeri, tetapi turut memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada orang tempatan.

“Kehadiran kilang berteknologi tinggi ini juga membuktikan kawasan Bertam kini mula muncul sebagai destinasi pelaburan industri bernilai tinggi.

“Ia terbukti membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan apabila daripada pengambilan pekerja peringkat awal, seramai 460 orang telah direkrut dan 155 daripadanya merupakan anak tempatan Kepala Batas, termasuk yang bekerja sebagai jurutera dengan gaji mencecah RM7,000 hingga RM8,000.

“Kita percaya apabila penduduk tempatan mempunyai pendapatan yang baik, mereka akan berbelanja di kawasan ini dan seterusnya merancakkan ekonomi setempat,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang INV New Material Technology di Penang Technology Park di sini, hari ini.

Reezal Merican (depan, kiri) meninjau proses pembuatan pemisah bateri di kilang INV New Material Technology (M) Sdn Bhd Bertam, Pulau Pinang hari ini.

INV New Material Technology (M) Sdn Bhd merupakan subsidiari kepada Shenzhen Senior Technology Material Co., Ltd. dari China, iaitu antara pengeluar terbesar dunia dalam teknologi lithium-ion battery separator.

Projek itu melibatkan pelaburan keseluruhan dianggarkan sehingga RM6.4 bilion dengan potensi mewujudkan kira-kira 1,200 peluang pekerjaan.

Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, pelaburan tersebut juga selari dengan perkembangan industri tenaga hijau global yang menyaksikan peningkatan penggunaan bateri bagi kenderaan elektrik (EV), sistem penyimpanan tenaga dan pelbagai peralatan elektronik.

“Kilang ini merupakan pembuat battery separator iaitu salah satu komponen penting dalam bateri yang digunakan dalam EV, sistem penyimpanan tenaga, peralatan elektronik dan industri tenaga boleh diperbaharui.

“Malah ia ini merupakan kemudahan pembuatan pertama di rantau ASEAN sekali gus dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi serta pembangunan industri teknologi tinggi masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast