BUTTERWORTH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya merampas kira-kira 9.08 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM10 juta menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 24 Disember lalu.
Pengarahnya, Datuk Rohaizad Ali berkata, pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang pada jam 10.40 pagi itu mendapati penyeludup disyaki membuat pengikraran tidak betul dalam borang manifestasi bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, pemilik barangan berkenaan mengisytiharkan kontena tersebut membawa sebanyak 930 kotak yang dilabel sebagai perabot.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 908 kotak mengandungi rokok putih disyaki barang larangan berjumlah 9,080,000 batang melibatkan jumlah nilai keseluruhan termasuk duti mencecah RM9,990,200.
“Manakala baki 22 kotak lagi didapati mengandungi perabot.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Rohaizad turut memaklumkan pihaknya menumpaskan satu kegiatan pengilangan arak tanpa lesen dan merampas minuman keras bernilai RM718,000 menerusi serbuan ke atas sebuah premis di Sungai Dua di sini, pada 6 Januari lalu.
“Kita menyita 10,391 botol atau 4,208.7 liter minuman keras jenis whiski disyaki yang tidak berkastam termasuk cukai bernilai RM516,000.
“Sebahagian daripada minuman keras itu telah siap ditampal dengan setem cukai kastam yang disyaki palsu.
“Bagi kes ini siasatan dibuat mengikut Seksyen 20(1) dan Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976,” katanya. – MalaysiaGazette
















