PUTRAJAYA – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun serta sebatan yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah.
Keputusan itu dicapai oleh panel tiga hakim berlainan diketuai oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah yang sebulat suara menolak permohonan Paul bagi memperoleh kebenaran untuk menyemak keputusan tersebut.
Beliau bersidang bersama-sama Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequarah.
Dengan keputusan itu, Paul kekal penjara.
Dalam prosiding hari ini, pemohon diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan diwakili Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.
Paul memfailkan notis usul mengikut Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, memohon semakan serta perintah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Pada 1 Oktober tahun lalu, Paul kekal menjalani hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol pembantu rumahnya.
Keputusan sebulat suara itu, dicapai oleh panel tiga hakim diketuai yang Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selepas menolak rayuan akhirnya terhadap sabitan dan hukuman kerana kesalahan itu.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah turut mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada 1 Mac tahun lalu.
Hakim Wan Ahmad Farid dalam penghakiman sebelum ini berkata, mahkamah mendapati sabitan terhadap perayu selamat selain hukuman yang diputuskan Mahkamah Rayuan, bersesuaian.
Katanya, terdapat kejadian rogol dan tanpa persetujuan mangsa dan ia dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
Panel sebelum ini telah meneliti isu ketiadaan asid deoksiribonukleik (DNA) perayu ditemui pada mop yang digunakan untuk mengemop air mani dalam bilik tersebut.
Bagaimanapun, panel berpendapat, bukti DNA hanya bersifat menyokong dan tidak akan menjejaskan kes pendakwaan untuk membuktikan unsur-unsur kesalahan rogol di luar keraguan munasabah.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Paul selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun, di sebuah bilik di rumahnya di Ipoh pada 7 Julai 2019.
Kemudian pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan dua sebatan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan. – MalaysiaGazette
















