KOTA TINGGI – Pendekatan luar biasa dan kerjasama menyeluruh semua pihak diperlukan bagi mencapai sasaran sifar pencemaran sungai di Johor menjelang 2030.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif tersebut juga memerlukan penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pihak yang melakukan pencemaran alam sekitar.
Pada masa sama katanya, usaha tersebut adalah sebahagian daripada agenda kelestarian alam sekitar negeri selaras dengan aspirasi Johor Maju 2030.
“Jumlah sungai yang dikategorikan sebagai tercemar di Johor menunjukkan trend penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil usaha bersepadu kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Pada awal 2023, terdapat 14 sungai yang diklasifikasikan sebagai tercemar di Johor. Jumlah itu menurun kepada sembilan sungai pada 2024 dan dijangka berkurang lagi kepada enam sungai tahun ini.
“Namun, sasaran kita tidak berhenti di situ. Menjelang 2030, kita mahu sifarkan jumlah sungai tercemar di negeri Johor,” katanya ketika berucap selepas merasmikan Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual (JISWH) di sini hari ini.
Beliau menegaskan, pembangunan fasiliti JISWH yang pertama seumpamanya di Johor akan memainkan peranan penting dalam mencegah pembuangan sisa kimia secara haram, selain mengelak kejadian pencemaran serius seperti yang pernah berlaku di Sungai Kim Kim sebelum ini.
“Sebelum ini kebanyakan sisa buangan terjadual industri dari Johor terpaksa dihantar ke negeri lain untuk dilupuskan, sekali gus meningkatkan risiko pelupusan haram akibat faktor kos dan masa.
“Dengan adanya hab buangan terjadual ini, kita dapat menutup ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sisa kimia ke sungai. Mangsa akhirnya adalah rakyat Johor sendiri,” katanya.
Projek pembinaan JISWH yang bertujuan meningkatkan pengurusan sisa buangan terjadual industri di negeri ini itu telah bermula pada 15 Disember tahun lalu dan dijangka siap pada 15 Jun 2027.
Dibangunkan oleh Kitar Selatan Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh KPRJ Environment Sdn Bhd di bawah Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama rakan strategik SJ Varied Sdn Bhd.- MalaysiaGazette
















