KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menasihatkan para pelajar untuk membuat pertimbangan sewajarnya terhadap komitmen akademik masing-masing serta keselamatan diri sebelum menyertai sebarang aktiviti luar kampus terutama semasa musim peperiksaan ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Zamri Radzi berkata, pihak universiti menghormati hak mahasiswa yang sentiasa peka terhadap isu semasa serta mempunyai semangat untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab.
Malah menurut beliau, pihak UM juga maklum berhubung satu perarakan ke Parlimen yang dijadualkan berlangsung Isnin, 9 Februari ini.
Namun katanya, kebebasan bersuara hendaklah dilaksanakan secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira keselamatan diri serta kesejahteraan semua pihak.
“Pihak universiti juga ingin menjelaskan bahawa kumpulan yang dikaitkan dengan penganjuran tersebut, dikenali sebagai “Liga Mahasiswa Universiti Malaya”, bukan persatuan pelajar yang berdaftar di UM dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti mahupun keseluruhan mahasiswa UM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Zamri, UM yakin para mahasiswa memiliki kematangan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang bertanggungjawab.
Sejajar dengan itu, pihak universiti kekal komited menyediakan saluran dialog dan ruang perbincangan yang teratur di peringkat kampus, bagi membolehkan pandangan dan kebimbangan disuarakan secara konstruktif, beradab dan berlandaskan nilai intelektual universiti.
“Keprihatinan terhadap isu masyarakat merupakan sebahagian daripada pembentukan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa,” ujarnya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan pelajar akan berarak dari Taman Tugu ke Parlimen pada Isnin ini bertujuan mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Demonstrasi itu dianjurkan kumpulan tersebut yang membentuk sebuah sekretariat yang dinamakan Mansuh AUKU.
Protes dijadualkan bermula 9 pagi akan melibatkan lebih 30 kumpulan pelajar, termasuk Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany), Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia, dan Liga Mahasiswa Universiti Malaya (LMUM). -MalaysiaGazette
















