Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang peniaga berputih mata selepas rugi lebih RM300,000 akibat terpedaya pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 51 tahun pada mulanya melihat iklan berkaitan pelaburan saham itu di laman media sosial Facebook.

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi WhatsApp dan suspek telah menawarkan satu pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan sebanyak 12 peratus dalam tempoh tiga hingga tujuh hari dengan modal permulaan sebanyak RM10,000.00.

“Suspek kemudian memberikan satu pautan kepada mangsa untuk memuat turun dan melabur melalui aplikasi MIBBT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa yang teruja dengan  tawaran itu telah membuat sebanyak 19 transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM335,450.00 sepanjang tempoh 4 Disember 2025 hingga 27 Januari 2026.

Tambahnya, mangsa menggunakan wang simpanan sendiri serta membuat pinjaman daripada rakan-rakan bagi tujuan tersebut.

“Melalui aplikasi MIBBT tersebut, mangsa telah dimaklumkan bahawa pelaburannya itu telah memperoleh keuntungan sehingga berjumlah RM2,418,499.55.

“Namun, apabila mangsa ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut, mangsa telah diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran,” katanya.

Menurut Yahaya lagi, mangsa yang berasa curiga dengan permintaan suspek itu terus membuat laporan polis kerana mengesyaki diri telah ditipu.

Yahaya menasihati orang ramai supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan turut dinasihati segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast