KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan faktor keselamatan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi, antara pertimbangan utama dalam keputusan menghalang perhimpunan Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram (GARAH) yang sepatunya berlangsung semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, arahan larangan itu dibuat hasil risikan terhadap pelbagai faktor termasuk ancaman keselamatan awam.
Menurutnya, pihak polis turut menerima sebanyak 138 laporan polis berkaitan isu berkenaan.
“Melalui risikan atas pelbagai faktor termasuk keselamatan awam mengatasi segala-galanya, kita telah keluar arahan supaya perhimpunan tidak boleh diteruskan.
“Adanya ancaman dan kita juga menerima 138 laporan polis untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) KL di sini.
Bagaimanapun, beliau berkata perhimpunan tetap berlaku walaupun arahan larangan telah dikeluarkan, menyebabkan polis terpaksa mengambil tindakan penguatkuasaan.
“Ekoran daripada itu, bila perhimpunan tetap berlaku, kita telah membuat tangkapan, di Kuala Lumpur 19 lelaki dan empat wanita manakala di Klang pula seramai tiga lelaki,” katanya.
Fadil menegaskan, pihak polis mengambil tindakan tanpa mengira latar belakang atau bangsa mana-mana pihak yang terlibat.
“Dua belah pihak kita ambil tindakan. Tidak kira apa bangsa mereka. Jangan cuba timbulkan gangguan ketenteraman awam,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh isu-isu berkaitan 3R yang boleh mencetuskan ketegangan dan mengancam keselamatan negara.
“Jangan sentuh isu-isu 3R. Kita tidak mahu ancaman keselamatan dan gangguan awam berlaku,” katanya.
Menurut beliau, sebarang cadangan atau pandangan kepada kerajaan perlu disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan melalui tindakan berbaur hasutan.
“Beri cadangan kepada kerajaan melalui kaedah yang sesuai. Kerajaan akan dengar,” ujarnya.
Fadil turut memaklumkan kumpulan terbabit dikesan membuat ancaman melalui media sosial termasuk TikTok dan platform lain.
Katanya, polis akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette
















