Suspek ditahan polis selepas menceroboh tiga buah rumah di Taman Pagoh Jaya, Pagoh, semalam.

MUAR – Seorang lelaki yang dipercayai sedang berhalusinasi memandu sendiri dari Kuala Lumpur sebelum menceroboh tiga rumah di Taman Pagoh Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek yang tidak bekerja itu menceroboh kawasan perumahan terbabit pada jam 5 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan yang berusia 29 tahun itu memandu dari Kuala Lumpur, apabila sampai dia memanjat pagar dan tembok beberapa rumah selain merosakkan tombol pintu grill sebuah rumah.

“Suspek juga dipercayai memukul seorang lelaki iaitu pemilik rumah sehingga menyebabkan kecederaan ringan di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Raiz Mukhliz, polis menerima beberapa laporan berhubung kejadian tersebut yang membabitkan tiga buah rumah di kawasan sama.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat awam, anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Panchor dengan bantuan RCJ Balai Polis Pagoh berjaya menahan suspek di lokasi kejadian.

Katanya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan kerana disyaki berhalusinasi ketika tangkapan dibuat.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap sebelum ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448, Seksyen 323, Seksyen 447 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan, katanya.

Jelas beliau, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular video berdurasi enam saat suspek ditahan dan gambar keadaan mangsa yang dipercayai dipukul ketika solat dalam kejadian samun itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast