JOHOR BAHRU – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung kes seorang penjawat awam yang juga bekerja sebagai pemandu e-hailing mencabul kehormatan penumpangnya iaitu seorang wanita warga Vietnam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan perlu dirujuk terlebih dahulu ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Kertas siasatan berkenaan dijangka dirujuk ke Pejabat D5 Bukit Aman dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
“Setakat ini, suspek telah dibebaskan dengan jamin polis pada hari ini sementara siasatan lanjut dijalankan dan menunggu keputusan siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Ab Rahaman berkata, sebelum itu laporan polis diterima pada Rabu daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual oleh pemandu e-hailing dalam kenderaan yang digunakan suspek.
Khamis lalu, Polis Johor mengesahkan menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun berhubung kes cabul kehormatan terhadap seorang wanita Vietnam.
Video berkenaan gangguan seksual tersebut tular dalam media sosial sejak Isnin lalu.
Video yang dirakam sendiri oleh penumpang terbabit menunjukkan pemandu berkenaan menghulurkan tangan ke belakang untuk menyentuh wanita tersebut, namun ditepis mangsa.
Pada Selasa lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu Grab yang melakukan gangguan seksual ke atas penumpang di Johor Bahru, baru-baru ini.- MalaysiaGazette
















