Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Malaysia sebagai salah satu anggota ASEAN tidak memberi sokongan penuh kepada perakuan pilihan raya yang diadakan oleh Myanmar baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia kerana pilihan raya tersebut tidak dilakukan secara telus dan menyeluruh.

“(Plihan raya di Myanmar) dibuat berkelompok-kelompok kerana ada tempat-tempat yang tidak boleh mengadakan pilihan raya dan ada kawasan-kawasan masih lagi di bawah kuasa tentera,” katanya ketika Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, Malaysia dan India mempunyai pendirian yang sama iaitu ingn melihat Myanmar menjadi sebuah negara yang aman.

Menurutnya, keadaan Myanmar yang tidak aman memberi kesan buruk kepada kedua-dua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan dagang bersama-sama.

“Myanmar yang tidak aman mengakibatkan Malaysia menerima akibat yang besar kerana kita sekarang menghadapi lebih 200,000 orang pelarian Rohingya di Malaysia terutama di Langkawi dan merata Malaysia.

“Manakala India menerima limpahan pelarian dari Myanmar disebabkan kawasan-kawasan yang tidak aman menyebabkan India menerima impak yang besar terhadap perkara yang berlaku di Myanmar.

“Jadi kita bersama-sama bertukar pandangan, tukar cadangan bagaimana cara untuk mengurus keadaan yang tidak aman di Myanmar ini agar kekusutan dalaman Myanmar tidak melimpah (memberi kesan) ke luar,” ujarnya.

Parti pro-ketenteraan yang dominan di Myanmar dilaporkan memenangi pilihan raya yang dikendalikan junta, selepas proses pengundian selama sebulan ditolak pengawas demokrasi sebagai penampilan semula pemerintahan tentera.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (Pakatan Harapan) bertanya sejauh manakah langkah-langkah bersama yang boleh diambil Malaysia dan India terhadap pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat dan usaha memulihkan demokrasi dan keamanan di Myanmar.

Mengulas mengenai rundingan tarif AS, Mohamad berkata, India dan Malaysia tidak berunding secara berkelompok dengan AS.

Sebaliknya ujarnya, AS memilih untuk berunding secara berasingan dengan setiap negara yang berurusan dengannya.

“Amerika tidak berunding secara multilateral, AS tidak suka berbincang berkelompok tapi secara unilateral. Jadi kita berunding dengan AS secara sendiri dan India juga sendiri.

“Tapi kami bertukar-tukar jugalah pandangan apa perlu kita lakukan kerana India telah menandatangani framework (rangka kerja) yang belum final (muktamad), kita (Malaysia) tanda tangan MoU tapi belum runding terma-terma secara khusus,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast