KUALA LUMPUR – Penulis dan sasterawan diseru memainkan peranan sebagai suara penimbang tara dalam masyarakat dengan menyampaikan kritikan secara berhemah serta mengemukakan pemikiran alternatif yang membina bagi mengelakkan perbezaan pendirian (polarisasi) melampau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peranan itu penting bagi memastikan karya persuratan tidak sekadar merakam realiti, sebaliknya turut membimbing masyarakat ke arah pemikiran yang seimbang dan matang.
“Penulis dan sasterawan juga perlu tampil sebagai suara penimbang tara — menyampaikan kritikan secara berhemah serta menawarkan pemikiran alternatif yang membina, demi mengelakkan polarisasi pemikiran dan emosi yang melampau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, hari ini.
Menurutnya, kerajaan akan terus menyokong usaha memperkasa ekosistem penulisan kreatif termasuk melahirkan bakat baharu, memperluas ruang penerbitan serta meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap karya tempatan.
“Kerajaan sentiasa menyokong usaha memperkasa ekosistem penulisan kreatif, termasuk melahirkan bakat baharu, memperluas ruang penerbitan serta memperkukuh apresiasi masyarakat terhadap karya sastera tempatan,” katanya.
Fadillah turut menegaskan, sokongan pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti amat penting bagi memastikan usaha memartabatkan bahasa dan sastera dapat digerakkan secara menyeluruh.
“Sokongan semua pihak — institusi pendidikan, badan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti — amat penting dalam menjayakan usaha ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan memperkasa karya sastera melalui medium digital supaya mampu menembusi khalayak lebih luas, khususnya generasi muda sebagai pewaris masa depan negara.
“Dalam era digital, karya sastera juga perlu diperkasakan melalui medium baharu agar dapat menembusi khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda sebagai pewaris masa depan negara,” katanya.
Menurutnya, sastera berperanan merakam denyut nadi masyarakat serta aspirasi masa depan negara.
Selain itu, sastera juga turut menjadi medium intelektual yang membentuk manusia berfikir, berakhlak dan berjati diri.
“Kemajuan negara tidak boleh diukur semata-mata melalui pencapaian material, tetapi mesti disandarkan kepada kekuatan nilai, pemikiran dan jiwa rakyatnya,” katanya.
Dalam masa sama, Fadillah mengingatkan masyarakat agar lebih bijaksana menilai maklumat terutama dalam era digital yang dipenuhi lambakan informasi tidak sahih, sambil menegaskan karya sastera beretika mampu menjadi panduan kepada masyarakat.
Beliau menambah, kecemerlangan negara perlu dinilai melalui pembangunan insaniah rakyat yang seimbang, dengan bahasa dan sastera berperanan mendidik jiwa serta menyemai nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk.
“Kecemerlangan sesebuah negara tidak wajar diukur hanya melalui pembangunan fizikal dan ekonomi, sebaliknya turut dinilai melalui kekuatan akhlak, nilai dan pembangunan insaniah rakyatnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















