Seorang bekas jurutera didakwa di dua mahkamah di Johor Bahru hari ini atas enam pertuduhan cubaan melakukan samun.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas jurutera didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas enam pertuduhan cubaan melakukan samun ke atas kedai emas dan memiliki senjata berbahaya di sebuah pusat beli-belah di sini awal bulan ini.

Tertuduh, Teo Chun Siong, 41, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan yang dibaca secara berasingan di hadapan Majistret A Shaarmini dan dua hakim Mahkamah Sesyen di sini, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Mohd Zamir Suhaimee.

Di Mahkamah Majistret, tertuduh yang masih bujang didakwa cuba merompak sebuah kedai emas di Pusat Beli-belah Paradigm Mall di sini pukul 5 petang, pada 6 Februari lalu.

Dia didakwa bawah seksyen 393 kanun keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Manakala di dua Mahkamah Sesyen berasingan, Chun Siong turut didakwa atas lima pertuduhan memiliki tukul besi serta beberapa bilah pisau antara pukul 5.30 petang hingga 6 petang di hadapan sebuah kedai emas serta di tempat letak kenderaan di pusat beli-belah yang sama pada tarikh sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih sepuluh tahun dan sebatan.

Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan wang jaminan keseluruhan berjumlah RM41,000.

Mahkamah menetapkan 3 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd Nizam, Shamira Mohd Luthfi Ismail dan R Navina manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Mohd Nasir dan Ahmad Yusri Ahmad Fuad.

Pada Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha memaklumkan pihaknya berjaya menahan seorang lelaki dan merampas semula barangan kemas bernilai lebih RM158,000.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast