Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan bercakap pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat dan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Sebarang perubahan kepada kadar levi HRD Corp perlu diteliti kerana ia mungkin memberi implikasi kepada keupayaan pembiayaan latihan dan kesinambungan pembangunan modal insan negara, khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kata Menteri Sumber Manusia.

Tambahan pula menurut Datuk Seri R. Ramanan, levi HRDCorp bukanlah cukai yang dibayar kepada kerajaan sebaliknya dana latihan yang boleh dituntut semula oleh majikan bagi tujuan latihan pekerja.

“Kementerian ini memahami kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya PMKS yang berdepan tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa.

“Bagi PMKS yang aktif menggunakan dana ini untuk latihan pekerja, kos 1 peratus boleh dilihat sebagai pelaburan dalam pembangunan sumber manusia,” katanya Ketika Penggulungan Titah DiRaja di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan yang disuarakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (Pakatan Harapan) mencadangkan supaya KESUMA mengurangkan kadar caruman levi HRDCorp satu peratus kepada 0.5 peratus.

Dalam masa yang sama, Lee turut mencadangkan kursus latihan kendiri dijalankan dengan kerjasama kerajaan dan institusi pendidikan.

Menurut Ramanan, pelaksanaan caruman levi HRD Corp sebanyak 1 peratus selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 [Akta 612].

Jelasnya, ia bertujuan menyediakan dana latihan yang mampan bagi menyokong pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti tenaga kerja.

“Majikan yang menggajikan 10 pekerja tempatan adalah diwajibkan untuk mendaftar dengan HRD Corp dan membayar levi latihan pada kadar 1 peratus daripada jumlah gaji bulanan pekerja dan dibayar oleh pihak majikan tanpa memotong gaji pekerja.

“Levi ini bertujuan menyediakan dana latihan yang mampan bagi menyokong pembangunan kemahiran dan peningkatan produktiviti tenaga kerja,”katanya lagi.

Mengulas lanjut katanya lagi, HRD Corp pada tahun lalu menyalurkan RM766.58 juta dalam bentuk bantuan kewangan kepada majikan PMKS.

Selain itu tambah beliau, RM739.12 juta bayaran tuntutan telah diluluskan khusus untuk PMKS bagi pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan
latihan semula kemahiran (reskilling) yang melibatkan sebanyak 806,165 tempat latihan di seluruh negara.

Ia demi memastikan dana levi dimanfaatkan secara optimum, tambah Ramanan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast