Ismail Sabri Yaakob

JOHOR BAHRU – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap karier politiknya masih belum berakhir dan kini masih aktif sebagai Ahli Parlimen Bera dan Ketua UMNO Bahagian Bera.

Beliau berkata, keputusan sama ada akan bertanding semula atau tidak dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang ditentukan apabila tiba masanya.

“Saya masih aktif sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO Bahagian. Tetapi saya sedar tidak lagi aktif dalam arus perdana politik ‘mainstream’ tanah air. Keputusan berkenaan PRU akan dibuat apabila tiba masanya.

“Buat masa ini saya turut fokus kepada membantu kira-kira 1,000 anak-anak yatim yang kehilangan ketua keluarga disebabkan pandemik Covid-19, itu fokus saya ketika ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada Loke Kim Yen di Jalan Merak, Larkin Jaya di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ismail Sabri berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Bera apabila menang dengan majoriti 16,695 undi mengatasi lawan masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Jumlah undi yang diperoleh Ismail sebanyak 31,762 manakala PH yang diwakili Abas Awang hanya mendapat 15,067 undi.

PN yang diwakili Asmawi Harun pula sekadar mendapat 12,719 undi.

Ismail berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan untuk lima penggal berturut-turut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast