Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media berkenaan wajah eman individu yang dikehendaki dalam Op Shutter di Menara 1 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBRUARi 2026.

KUALA LUMPUR – Sindiket jenayah aktif kes pecah rumah dan pecah kedai yang menyasarkan rumah teres tidak berpenghuni dan premis perniagaan menggunakan pintu jenis shutter di sekitar Johor berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pembongkaran itu dilakukan menerusi Ops Shutter hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor pada 24 Januari lalu.

Katanya, menerusi operasi itu polis berjaya menyelesaikan 32 kes pecah rumah dan kedai di sekitar Johor dengan penahanan ahli kumpulan jenayah yang aktif sejak tahun 2022 hingga Oktober 2025 melibatkan jumlah kerugian kira-kira RM1 juta.

“Dalam operasi ini, dua suspek berusia 22 dan 26 tahun telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Manakala empat lagi ahli kumpulan berumur antara 22 hingga 38 tahun telah dikenal pasti dan kini berada dalam tahanan di Penjara Kluang, Johor atas kesalahan-kesalahan lain.

“Kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan rompakan berkumpulan dan bersenjata, pecah rumah, curi dalam bangunan, pemerasan dan ugutan jenayah, pelupusan barangan curi serta pengedaran dadah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media di Menara 1 Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 10 FEBRUARi 2026.

Tambah beliau, kumpulan itu beroperasi secara terancang  yang diketuai oleh seorang lelaki tempatanberumur 22 tahun dan dianggotai seramai lima individu berusia antara 22 hingga 38 tahun.

“Ahli kumpulan ini terdiri daripada penjenayah berulang yang aktif menjalankan kegiatan jenayah sejak tahun 2022 sehingga Oktober 2025 dan menyasarkan rumah teres yang tidak berpenghuni serta premis perniagaan yang menggunakan pintu jenis shutter.

“Suspek akan memecah masuk dengan mengumpil menggunakan peralatan seperti kuku kambing atau cutter sebelum menggeledah premis dan melarikan barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai serta kenderaan milik mangsa  bagi mendapatkan faedah material,” jelasnya.

Mohd Khalid menambah, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan mereka akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor pada 12 Februari ini.

“Pihak pendakwaan bersetuju untuk menuduh kesemua enam ahli kumpulan ini di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

“Kejayaan Op Bugil dan Op Shutter membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah terancang yang semakin kompleks dan berevolusi sama ada melibatkan jenayah siber, eksploitasi manusia mahupun jenayah harta benda yang memberi kesan langsung kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast