Armizan (tiga dari kiri) ketika mengumumkan pelaksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 melibatkan 16 jenis barangan selama sembilan hari bermula 13 hingga 17 Februari ini.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 bermula 13 hingga 21 Februari ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim selama sembilan hari itu melibatkan tempoh empat hari sebelum perayaan sehingga empat hari selepas Tahun Baharu Cina yang disambut pada 17 Februari.

Menurut beliau, sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti di peringkat nasional untuk dikawal di bawah skim berkenaan, namun jumlah barangan kawalan berbeza mengikut negeri.

“Sebanyak 16 barangan dikawal di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, manakala 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Empat barangan baharu turut dimasukkan dalam senarai kawalan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar serta bawang merah besar,” katanya.

Armizan Mohd Ali

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Tahun Baharu Cina 2026 di Taman Pandan Mawar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara barangan keperluan utama yang dikawal termasuk ikan bawal putih, udang putih, bawang putih China, kobis bulat import, lobak merah dan putih dan ubi kentang China.

Turut tersenarai ialah halia tua import, kepak ayam serta daging dan perut babi, selain kawalan babi hidup di peringkat ladang.

“Penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan dibuat dengan mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca, kadar upah serta pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Dengan cara ini, pengguna dapat menikmati harga berpatutan, manakala peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh kawalan harga yang terlalu lama,” jelasnya.

Mengulas aspek penguatkuasaan beliau berkata, SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan pegawai penguat kuasa KPDN ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

Selain pelaksanaan SHMMP, Armizan berkata, KPDN turut melaksanakan beberapa program khusus sempena sambutan perayaan ini yang berkait rapat dengan ikhtiar menangani kos sara hidup rakyat.

Antaranya ialah Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Tahun Baharu Cina 2026 yang dilaksanakan bermula 3 hingga 17 Februari ini, melibatkan sebanyak 920 lokasi jualan di seluruh negara dengan penawaran barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast