KUALA LUMPUR – Keputusan mengenai tindakan lanjut terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan ditentukan oleh Perdana Menteri.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, dakwaan sebuah portal terhadap Azam perlu disiasat sebelum tindakan selanjutnya dimuktamadkan.
“Kes ini perlu penyiasatan dan akhir sekali, keputusan patut dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Kabinet.
“Saya difahamkan tidak lama lagi, mesti satu keputusan akan dibuat dan kita semua akan diberitahu tetapi ini bukan menunjukkan kita lari daripada tanggungjawab perlu ada siasatan terperinci,” katanya pada Sesi Penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Terdahulu Kulasegaran memberi jaminan tidak ada sesiapa akan terlepas dengan perundangan negara termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Namun, katanya, adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan awal terhadap dakwaan sebuah portal antarabangsa.
“Jangan kita anggap satu tohmahan daripada portal berita kita buat kesimpulan terhadap suatu isu. Di Malaysia, tiada siapa yang kalis undang-undang termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian menjawab celahan dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan iaitu Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) dan Ramkarpal Singh (Tasek Gelugor) yang mencadangkan Azam direhatkan daripada jawatannya buat sementara waktu sepanjang siasatan dibuat.
Mereka berkata tindakan tersebut bagi membolehkan siasatan SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan laporan sebuah portal berita antarabangsa mengenai pemilikan saham Azam dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.
Portal itu mendakwa Azam memiliki saham sebanyak 17.7 juta dalam syarikat yang disebut sebagai Velocity Capital Partner Bhd.-MalaysiaGazette
















