KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini memasuki fasa ujian dan pentauliahan selepas menerima dua set Golden Tren Electric Multiple Unit (EMU) dan Electric Locomotive (E-Loco).
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) kini telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 91.7 peratus setakat Januari 2026.
“Hari ini merupakan satu hari yang penting untuk perkembangan projek ECRL dan ini menandakan bahawa projek ECRL telah mencapai satu milestone yang penting dengan menerima train ini.
“Kita akan memulakan fasa yang penting iaitu fasa ujian dan pentauliahan atau testing untuk live track dan sebagainya. Jadi ini selari dengan perancangan keseluruhan projek ECRL dan kita menjangkakan bahawa jadual yang telah pun dirancang iaitu operasi bermula bulan Januari 2027 dapat dicapai.
“Dan sudah tentu ah beberapa bulan baki ini akan digunakan sepenuhnya untuk segala ujian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden Tren EMU dan E-Loco Projek ECRL dan Penyeraan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di Stesen ECRL KotaSAS, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing; Exco Kerja Raya, Pengngkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dan Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL).
Jelas Anthony, baki sembilan tren EMU enam gerabak bagi perkhidmatan penumpang serta 10 E-Loco untuk tujuan kargo daripada Syarikat CRRC Dalian akan tiba ke Malaysia secara berperingkat dalam masa beberapa bulan lagi.
Ditanya jika kejadian kecurian kabel ECRL yang berlaku sejak tahun lepas menjejaskan perkembangan projek terbabit, beliau menegaskan bahawa tindakan segera telah diambil bagi menggantikan kabel yang dicuri.
“Walaupun ada kesan, tetapi mereka akan cuba memastikan bahawa kabel-kabel yang dicuri itu dapat diganti dengan secepat mungkin dan dia tidak menjejaskan keseluruhan projek ini.
“Bagaimanapun, ini merupakan satu cabaran berterusan kepada semua operator rel dalam negara kita, baik MRL, ECRL, KTMB, memang ini satu cabaran yang sangat besar kerana masalah kecurian kabel ini dihadapi sepanjang masa.
“Jadi sudah tentu kita bekerjasama dengan pihak polis dan KDN juga sedang merangka pindaan undang-undang untuk memastikan hukuman yang lebih berat kepada pencuri-pencuri kabel ini. Jadi kita akan terus bekerjasama dengan polis untuk mencegah kecurian kabel,” jelasnya.

Sebagai rekod, setiap set tren EMU mampu beroperasi sehingga kelajuan 160 km/j dengan kapasiti sehingga 425 penumpang bagi konfigurasi kelas ekonomi sepenuhnya.
Reka bentuk luaran dan dalaman tren itu diilhamkan daripada seni sert kebudayaan Malaysia dan dilengkapi kemudahan seperti tandas, rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, bilik solat berserta tempat wuduk selain kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan semua penumpang.
Sementara itu, E-Loco ECRL berkeupayaan beroperasi pada kelajuan sehingga 80km/j dengan keupayaan menarik sehingga 45 gerabak serta kapasiti muatan maksimum sebanyak 3,500 tan bagi setiap perjalanan. – MalaysiaGazette
















