KUALA LUMPUR – Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan menegaskan, kegagalan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak boleh diselindungi atau dipertahankan oleh mana-mana pimpinan negeri.
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia itu berkata, tidak timbul soal Timbalan Ketua Badan Perhubungan PN Sabah, Muhammad Affan Jumahat tampil mempertahankan kelemahan Pengarah Pilihan Raya dan Pengerusi PN Sabah kerana Affan sendiri sebahagian daripada kegagalan tersebut.
“Kegagalan teruk PN di Sabah berpunca daripada kelemahan perancangan dan pengurusan di bawah Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Seawal pengumuman calon lagi, kelemahan sudah jelas kelihatan termasuk di peringkat Bilik Gerakan Utama.
“Penilaian awal calon PN hanya sekitar tiga hingga empat peratus, jauh ketinggalan berbanding parti lain. Ini bukan soal persepsi, ini kegagalan strategi dan operasi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Sanjeevan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, operasi pilihan raya bukan sekadar siri jelajah ceramah sebaliknya menuntut pelan strategik yang terperinci, data lengkap, struktur organisasi berfungsi, saringan calon yang teliti serta perancangan kewangan yang kukuh.
“Persoalannya, adakah semua ini benar-benar dilaksanakan sebelum keputusan bertanding 33 kerusi dibuat?” soalnya.
Tambah beliau, keputusan strategik dibuat pada saat akhir tanpa data dan persiapan rapi menyebabkan majoriti calon PN tewas dan kehilangan deposit.
Lebih mengecewakan, katanya, sehingga kini, laporan post mortem PRN Sabah belum dibentangkan secara rasmi, malah Hamzah dan Ronald juga tidak hadir membentangkannya dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“Dalam keadaan autoriti penuh telah diberikan kepada Pengarah Pilihan Raya dan Ketua BPN Sabah, cubaan menyalahkan pihak lain hanya menunjukkan kegagalan memikul tanggungjawab,” tegasnya.
Sehubungan itu, Sanjeevan menuntut akauntabiliti penuh daripada pimpinan yang terlibat.
“Sebagai Pengarah Pilihan Raya, Ketua BPN, Timbalan Ketua BPN dan Setiausaha Negeri, Hamzah, Ronald, Affan dan Yunus Nurdin wajar berundur secara terhormat, itu sahaja,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















