MELAKA – Kelahiran seorang bayi lelaki dengan berat hampir lima kilogram menggamatkan bilik pembedahan Hospital Pantai di sini hari ini yang teruja dengan situasi luar biasa itu.
Bayi seberat 4.91 kilogram (kg) itu selamat dilahirkan oleh ibunya, Nur Hafizah Othman, 35, melalui kaedah pembedahan Caesarean (Czer) pada pukul 9.16 pagi, ditemani suami, Nor Irfan Azizi Nordin, 36.
Nor Irfan Azizi berkata, walaupun sudah menjangkakan cahaya mata ketiga itu akan lahir dengan berat empat kilogram ke atas, mereka terkejut kerana tidak pernah mengangka beratnya hampir mencecah lima kilogram.
“Anak pertama kami, Noah Naufal dilahirkan seberat 4.5 kg, manakala anak kedua, Noah Ayden, 4.2 kg., jadi kami jangkakan anak ketiga ini pun sekitar berat yang sama.
“Bagaimanapun, kami terkejut apabila suasana di bilik pembedahan tadi bertukar gamat apabila petugas di hospital teruja nak tengok anak kami kerana saiz dan beratnya yang luar biasa iaitu 4.91 kilogram,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

hari ini ‘menewaskan’
bayi perempuan seberat 4.8 kg yang tular sehingga mendapat gelaran ‘bayi tadika’ pada 1 September 2024
Tambahnya, sehingga kini, mereka masih terkejut dan teruja dengan berat berkenaan yang memecah rekod ‘dunia keluarganya’ itu namun bersyukur kerana kedua-duanya selamat.
“Setakat ini kami masih belum memutuskan nama penuh bayi bertuah ini kecuali nama pertamanya juga pastinya Noah sama seperti abang-abangnya yang lain.
“Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada semua petugas Hospital Pantai yang membantu dalam prosedur kelahiran dan berkongsi kegembiraan sekeluarga,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini pernah tular di media sosial kelahiran bayi perempuan seberat 4.8 kg yang dilahirkan oleh Wan Nur Jahidah Wan Muim di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 1 September 2024.
Bayi berkenaan kemudian mendapat gelaran ‘bayi tadika’ kerana saiznya yang besar, juga dilahirkan melalui kaedah pembedahan dan keadaannya dilaporkan sihat. – MalaysiaGazette
















