KLUANG – Tindakan seorang pemandu van yang keluar secara melulu di simpang Kampung Sri Timur ke Jalan Kampung Ilham di sini menjadi punca kemalangan dengan sebuah lori petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 1 petang melibatkan sebuah lori Isuzu dipandu Mohd Hafiz Mohd Safar, 44, dan van dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun.
“Hasil daripada siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika ketika lori dipandu Mohd Hafiz dalam perjalanan dari Felda Kahang Timur menuju ke Kampung Ilham.
“Pasa masa sama van berkenaan datang dari Kampung Sri Timur turut menghala ke Kampung Ilham namun tidak berhenti ketika keluar dari simpang di jalan dilalui Mohd Hafiz,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, Mohd Hafiz tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran dengan van tersebut sehingga kedua-duanya terbabas ke tepi jalan.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan Mohd Hafiz mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu van cedera di kepala dan tangan kanan.
Menurut Bahrin, kedua-dua mangsa kemalangan kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk proses rawatan dan bedah siasat.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar. – MalaysiaGazette
















