Majlis pra pelancaran LIHAS 2026 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Pameran Antarabangsa Halal Langkawi (LIHAS) 2026 menyasarkan nilai perdagangan sebanyak RM100 juta pada penganjuran sulungnya yang dijadual berlangsung di Langkawi, Kedah dari 5 hingga 8 November ini.

Setakat ini hampir RM88 juta telah direkodkan lebih awal menerusi dua kerjasama dan misi perdagangan.

Ketua Pegawai Operasi LIHAS, Shazzwan Shawaluddin berkata, sasaran awal itu ditetapkan sebagai langkah realistik namun pencapaian semasa menunjukkan perkembangan amat memberangsangkan walaupun pameran belum bermula.

“Kita bermula dengan sasaran yang lebih selamat iaitu RM100 juta, namun sebelum LIHAS berlangsung lagi kita sudah merekodkan hampir RM88 juta menerusi dua kerjasama dan misi perdagangan,” katanya pada majlis pra pelancaran LIHAS 2026 di sini hari ini.

Shazzwan Shawaluddin

Menurut beliau, LIHAS 2026 turut merekodkan nilai padanan perniagaan berjumlah RM58 juta, merangkumi RM28 juta daripada sektor pertanian serta makanan dan minuman (F&B) hasil kerjasama antara Levent Corporation Sdn. Bhd. dan LeShou Yufang (Beijing) Catering Management Co., Ltd.

Selain itu, sebanyak RM30 juta lagi dijana menerusi pengeluar gelatin halal.

Shazzwan berkata, penganjuran edisi sulung itu mengetengahkan konsep business meets nature yang menggabungkan elemen perniagaan dan pelancongan dalam satu platform halal antarabangsa.

Beliau menjelaskan, LIHAS berperanan sebagai platform perdagangan halal global yang mempromosikan produk, perkhidmatan dan inovasi halal di samping memperkukuh rangkaian perniagaan serta menggalakkan kerjasama dan pertukaran ilmu.

Dengan penyertaan ratusan pempamer serta kehadiran pembeli tempatan dan antarabangsa, acara itu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri, pertukaran inovasi dan peluang perniagaan rentas sempadan merentasi pelbagai sektor halal, selaras Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).

Setakat ini, penyertaan antarabangsa melibatkan Afrika Selatan, Korea Selatan, China dan Bosnia manakala Bangladesh turut menyatakan minat untuk menyertai pameran berkenaan.

“Buat masa ini kita masih menarik penyertaan daripada negara lain dan kita juga diminta untuk memberi tumpuan kepada negara anggota ASEAN terlebih dahulu,” katanya.

Antara program utama LIHAS 2026 termasuk sesi Biz Pocket Talk, demonstrasi masakan secara langsung, Asian Food Meet-Up dan Street Food Bazaar, Klinik Halal bersama agensi pelaksana, sesi podcast langsung, persembahan kebudayaan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), Malam Aspirasi Usahawan Halal serta Forum Perbankan dan Agensi Kewangan Halal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast