KUALA LUMPUR – Gabungan Rakyat Pertahankan Hak (GARAH) mengingatkan kepada mana-mana individu dalam gerakan tersebut agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tanah di Rawang atas nama organisasi berkenaan.
Ketua (Sementara) GARAH, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sebarang pandangan atau kenyataan mengenai isu tersebut mestilah dibuat atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili suara rasmi GARAH.
“Langkah itu adalah bagi memastikan setiap gerak kerja perjuangan kita sentiasa berjalan dengan teratur, tersusun serta profesional.
“GARAH berharap sesiapa pun dalam gerakan GARAH yang ingin membuat apa-apa kenyataan berkaitan isu kes di Rawang ini hendaklah keluarkan kenyataan masing-masing atas kapasiti peribadi sahaja dan bukannya atas nama GARAH,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai perkembangan kes di Rawang, Mohamed Haniff menjelaskan, pihak pemilik tanah serta individu terlibat sudah mempunyai barisan peguam sendiri yang memiliki fakta lengkap mengenai kes tersebut.
“GARAH tidak akan mencampuri urusan pengendalian peguam dan memberi kepercayaan penuh kepada saluran perundangan sedia ada.
“Biar mereka (peguam) kendalikan menurut saluran yang perlu, dan betulkan apa-apa fakta mengikut maklumat yang mereka ada,” ujarnya.
Beliau berkata, GARAH yang merupakan pergerakan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya akan mengeluarkan kenyataan apabila perlu tanpa mencampuri secara salah urusan pengendalian peguam mereka.
“Skop perjuangan GARAH adalah jauh lebih luas berbanding isu hak milik tanah peribadi yang mana perkara tersebut mempunyai lunas undang-undangnya yang tersendiri.
“Tindakan menyusun tadbir urus kenyataan media ini adalah sebahagian daripada misi GARAH untuk memastikan integriti organisasi kekal terpelihara dalam memperjuangkan hak rakyat secara keseluruhan,” katanya lagi.
Semalam, polis menahan empat lelaki termasuk aktivis yang juga penggerak kempen membantah rumah ibadat tidak sah, Tamim Dahri selepas terlibat dalam operasi merobohkan struktur sebuah kuil di Taman Rawang Perdana.
Menurut peguam Tamin, Aidil Khalid berkata tindakan merobohkan struktur tersebut dibuat atas dasar mempertahankan hak milik tanah Yayasan Kubra yang didakwa telah diceroboh sejak tahun 2018.
Tanah tersebut milik Yayasan Kubra dan perobohan ini dilakukan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf yang telah lama dirancang namun tergendala akibat pencerobohan tersebut. – MalaysiaGazette















