Bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Entiti Kerajaan diwajibkan untuk menyemak semula semua instrumen kawal selia (termasuk pekeliling, peraturan, dan garis panduan) di bawah bidang kuasa masing-masing dalam tempoh setiap tiga tahun.

Langkah ini berdasarkan kepada ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 [Akta 867] yang telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2025 dan Pekeliling Iltizam KecekapanPerkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2025.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, mana-mana pekeliling, peraturan dan garis panduan yang telah melebihi 20 tahun atau tidak lagi releven pemakaiannya pada masa ini sedang diberi perhatian untuk dikemaskini.

Ia termasuklah berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.

“Pengemaskinian ini juga menjadi agenda utama dalam Reformasi Kerenah Birokrasi yang menjadi teras kepada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang berorientasikan kepada peningkatan kecekapan, integriti, dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, perkara ini bagi memastikan dasar kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, namun kekal seimbang antara elemen integriti dan realiti semasa, tanpa menjejaskan prinsip ketelusan serta akauntabiliti pegawai awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast