JOHOR BAHRU – Penafian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh bahawa beliau bersikap anti-Cina dilihat tidak mencerminkan keikhlasan yang sebenar.
Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang mendakwa, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dilihat sekadar mahu mewujudkan persepsi politik semata-mata.
Beliau yang juga Ketua AMK Bahagian Tebrau berkata, Akmal terlibat dengan pelbagai kes kontroversi sebelum ini.
“Ini termasuk isu sarung kaki tertera perkataan Allah serta insiden individu bergelar apek yang menggantung Jalur Gemilang secara terbalik, tidak ditangani dengan pendekatan yang mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.
“Pendekatan sedemikian bukan sahaja gagal meredakan keadaan, malah terus mencetuskan ketegangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegagalan untuk memohon maaf di samping tindakan menyerang secara tidak terkawal dalam isu-isu terbabit hanya menambah api dan memburukkan keadaan.
Katanya, semua insiden tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina, khususnya terhadap sikap yang dilihat keras dan tidak bertoleransi.
Namun demikian ujar beliau, sekiranya Akmal benar-benar ikhlas dengan kenyataannya, ruang dan peluang wajar diberikan selaras dengan semangat Malaysia Madani dan perpaduan.
Langkah itu katanya, agar Akmal dapat membuktikan keikhlasan tersebut melalui tindakan dan perubahan sikap.
“Diharapkan Akmal dapat mengubah pendekatan serta mengelakkan isu-isu kontroversi demi mempertahankan semangat perpaduan yang telah lama dibina di negara ini.
“Sekiranya Akmal kembali mengulangi pendekatan lama, keyakinan masyarakat terhadap Akmal akan dihakis sehingga apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Akmal tidak boleh dipercayai lagi,” katanya.
Akmal menerusi Podcast Keluar Sekejap (KS) bersama-sama Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan hari ini memberitahu, beliau tidak anti-Cina sebaliknya hanya tidak bersetuju dengan DAP.
Beliau mendakwa, rasa tidak setuju itu adalah berasaskan polisi DAP dan bukan masyarakat atau kaum Cina.- MalaysiaGazette
















