Operasi pembenihan awan dilakukan selama tiga hari bertujuan menambah simpanan air di empangan-empangan strategik Johor.

JOHOR BAHRU – Operasi pembenihan awan dilakukan selama tiga hari bertujuan menambah simpanan air di empangan-empangan strategik negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, operasi tersebut dilakukan semalam dan hari ini bagi menangani kemarau.

Jelas beliau, operasi hari ketiga akan diteruskan pada Ahad ini berikutan cuaca kering yang berpanjangan.

“Kerajaan negeri memohon secara rasmi pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi membantu meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan utama.

“Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dengan kerjasama METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) telah melaksanakan Operasi Pembenihan Awan menggunakan pesawat C130 Hercules yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang, dari pagi hingga ke petang, bermula semalam.

“Operasi ini turut membabitkan kepimpinan tertinggi Nadma dan MetMalaysia sebagai bukti komitmen semua pihak dalam memastikan bekalan air rakyat terus terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Hadapi Kemarau Negeri Johor bersama-sama jabatan dan agensi terlibat susulan situasi cuaca panas berterusan dan paras air empangan yang semakin menyusut.

Beliau berkata, operasi pembenihan awan itu memfokuskan Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1 dan Empangan Machap yang ketika ini terkesan akibat cuaca kering berpanjangan.

Katanya, langkah itu diambil bagi menambah simpanan air di beberapa empangan, memanjangkan tempoh ketersediaan air mentah untuk rawatan termasuk di Ulu Sungai Sedili serta membantu memulihkan paras sungai ke tahap yang lebih stabil.

“Kita sedar pembenihan awan bukan penyelesaian mutlak dan hasilnya bergantung kepada keadaan atmosfera semasa.

“Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih kritikal. Setiap langkah yang wajar sedang diambil secara berfasa dan terancang,” ujarnya.

Beliau berharap menerusi usaha berterusan dan kerjasama semua agensi itu akan mampu mengurangkan impak kemarau kepada rakyat Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast