GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Sebanyak 89 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) bagi kesalahan membuang sampah kecil dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) di negeri ini sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, jumlah berkenaan membabitkan 52 warga tempatan dan 37 warganegara asing termasuk lima warga Singapura.

“Daripada jumlah itu, lima kes selesai didakwa di mahkamah dengan jumlah keseluruhan denda terkumpul sebanyak RM4,000 serta hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam bagi setiap individu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pelaksanaan hukuman PKM di Taman Stulang Laut, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Abidin.

Kesemua mereka sudah disabitkan kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam dan dijatuhi hukuman PKM selama enam dan lapan jam oleh mahkamah.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu kebersihan awam dan akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terpelihara.

Kerajaan negeri juga katanya, komited untuk memastikan kebersihan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.

Jelasnya, pelaksanaan PKM itu bertujuan memberi mesej jelas bahawa kesalahan membuang sampah termasuk puntung rokok, tidak akan dipandang ringan.

“Kita mahu membudayakan amalan menjaga kebersihan sebagai tanggungjawab bersama-sama demi menjayakan Agenda Johor Bersih serta aspirasi Bandar Bersih Johor 2030,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal Fitri berkata, pelaksanaan PKM bukan sekadar satu bentuk hukuman tetapi merupakan pendekatan pendidikan untuk membentuk sikap lebih bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.

Ujarya, kesemua pesalah telah menyempurnakan sesi dua jam pertama aktiviti pembersihan awam di bawah pengawasan pegawai penguat kuasa SWCorp dan bakinya perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah.

“Ini adalah bukti jelas bahawa SWCorp tidak berkompromi terhadap sebarang kesalahan kebersihan. Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta memupuk budaya masyarakat yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Bagi pesalah warganegara asing yang tidak tinggal di Malaysia, mereka perlu jalani hukuman PKM sebelum pulang ke negara asal. Ketidakpatuhan terhadap arahan PKM boleh membawa kepada denda maksimum RM10,000,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast