Datuk Dzulkhairi Mukhtar

MELAKA – Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi perempuan ditemui tidak bernyawa di tandas awam wanita di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini pagi tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek yang masih bujang itu ditahan di wad Hospital Melaka ketika sedang menerima rawatan dipercayai mengalami  pendarahan akibat bersalin.

Mayat bayi perempuan cukuf sifat yang masih bertali pusat itu dibalut dengan kain telekung berat dianggarkan tiga kilogram yang dijumpai seorang pekerja pembersihan dalam tandas awam wanita di Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka, pagi tadi.

Menurutnya, remaja berkenaan dikatakan melahirkan bayi itu kira-kira jam 8.30 malam tadi di rumah keluarganya.

“Siasatan awal mendapati ahli keluarganya tidak menyedari suspek mengandung sebelum ini.

“Hasil keterangan awal juga mendapati suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan yang didakwa sudah tidak bernyawa di rumahnya.

“Remaja itu kemudian menaiki motosikal dan meninggalkan mayat bayi itu di tandas awam yang terletak kira-kira dua kilometer dari kediamannya,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini

Pegawai penyiasat dan pasukan forensik melakukan siasatan di lokasi.

Dzulkhairi berkata, suspek ditahan pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara sulit membuang mayat bayi.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan mayat bayi perempuan cukup sifat dan masih bertali pusat dijumpai dibalut kain telekung dan diletakkan di dalam beg di Tandas Awam Taman Bandaraya Bukit Serindit, Melaka pagi tadi.

Mayat bayi dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Kejadian jam 9.40 pagi disedari pekerja pembersihan tandas berkenaan sebelum memaklumkannya kepada pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast