KUALA LUMPUR — Beberapa hantaran luar biasa pada laman Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencetuskan persoalan hangat dalam kalangan pemerhati politik, dengan spekulasi bahawa akaun itu mungkin telah digodam.
Kandungan kontroversi itu dilihat menyentuh secara langsung kepimpinan parti itu sendiri.
Segalanya bermula selepas Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama beberapa Ahli Parlimen parti lain.

Namun, pemerhatian MalaysiaGazette mendapati hantaran di platform rasmi parti itu tiba-tiba berubah menjadi kritikan terbuka terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Salah satu hantaran berbunyi:
“Muhyiddin Yassin perlu berundur kerana gagal selesaikan kemelut dalam Bersatu,” ditulis pada jam 5.50 petang, menimbulkan reaksi pantas daripada netizen dan ahli parti.
Lebih mengejutkan, hantaran lain secara terang-terangan menuding jari kepada Lembaga Disiplin Bersatu:
“Lembaga Disiplin salah guna kuasa, dipengaruhi Muhyiddin,” tulis kenyataan rasmi parti itu di Facebook.
Hantaran yang tular turut menampilkan grafik menegaskan:
“RASMI – 18 Ahli Parlimen BERSATU Sokong TS Muhyiddin Berundur,” menambahkan spekulasi dan memperhebatkan kontroversi dalam kalangan penyokong.
Tidak cukup dengan itu, satu lagi hantaran lebih keras muncul, mengkritik Muhyiddin sambil mengaitkannya dengan isu dalaman parti:
“Muhyiddin gagal kawal Tun Faisal. Hubungan Bersatu-Pas terjejas kerana keceluparan (Datuk) Tun Faisal,” kata hantaran itu, merujuk kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dan hubungan parti dengan rakan sekutu dalam Pas.
Setakat ini, pihak pengurusan media sosial Bersatu belum mengeluarkan sebarang penjelasan rasmi mengenai status hantaran tersebut, sama ada ia sah dari pentadbiran parti atau berpunca daripada pencerobohan akaun.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai kawalan komunikasi digital parti.
Ramai pemerhati kini menunggu pengesahan rasmi untuk menentukan sama ada insiden ini hanyalah kesilapan pentadbiran atau benar-benar isu keselamatan siber yang serius. – MalaysiaGazette
















