KUALA LUMPUR – Sebanyak 503 kes baharu Penyakit Tuberkulosis (Tibi) direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-5, menjadikan jumlah keseluruhan kes tahun ini mencecah 2,571 kes di seluruh negara.
Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 614 kes atau 23.88 peratus daripada keseluruhan kes.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, pecahan kes mengikut negeri menunjukkan Selangor negeri kedua selepas Sabah yang mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 476 kes (18.51 peratus) diikuti Sarawak dengan 257 kes (10.00 peratus).
Selain itu, Johor mencatatkan 233 kes (9.06 peratus), manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 202 kes (7.86 peratus).
Negeri lain yang turut merekodkan kes ialah Pulau Pinang sebanyak 148 kes (5.76 peratus), Kedah 144 kes (5.60 peratus), Perak 127 kes (4.94 peratus), Kelantan 96 kes (3.73 peratus), Pahang 81 kes (3.15 peratus), Terengganu 60 kes (2.33 peratus), Negeri Sembilan 58 kes (2.26 peratus), Melaka 42 kes (1.63 peratus), Perlis 17 kes (0.66 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 16 kes (0.62 peratus).
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada menjelang musim perayaan dan cuti panjang dengan mengamalkan langkah pencegahan seperti etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.
Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau susut berat badan digesa menjalani saringan segera di fasiliti kesihatan terdekat.
KKM menegaskan, langkah pencegahan ini berteraskan prinsip penilaian risiko kendiri serta merupakan tanggungjawab sosial penting dalam melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada penularan penyakit berjangkit. – MalaysiaGazette
















